| KOLEJ PENDETA ZA'BA

KOLEJ PENDETA ZA’BA

Pada tahun 1986, Kolej Pendeta Za'ba dikenali sebagai Kolej Kediaman Kesembilan atau Kolej Bongsu. Pada ketika itu, YBrs. Tn. Hj. Ali B. Sheikh Hj. Yaacob telah dilantik sebagai pengetua kolej yang pertama. Misi kolej pada waktu sedemikian adalah Kreatif, Produktif dan Berdikari serta berkonsepkan "lni Kolejku, lni Rumahku". Dengan berkonsepkan nama lima buah blok kediaman iaitu Arif, Cendekia­wan, Pintar, Bijaksana dan Bestari, Tn. Haji Ali telah mengambil insiatif untuk menukar nama Kolej Kesembilan kepada Kolej Pendeta Za'ba. 

Majlis peras­mian telah berlangsung pada 17 Disember 1988 yang telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Tan Sri Dato' Dr. Nayan Ariffin, Naib Canselor Universiti Pertanian Malaysia. Lanjutan daripada itu, Majlis Malam Pendeta telah dianjurkan pada 3 Januari 1993 bagi mengumumkan nama baru kepada kesemua kemudahan yang terdapat di KPZ pada se­belum ini seperti Aspirasi Za'ba, Khazanah Za'ba, Hamparan Puteri Za'ba. Gelanggang Za'ba dan Baitul Iman.

KOLEJ TUN PERAK

Bergerak kepada sejarah penubuhan Kolej Tun Perak pula, dahulu ia dikenali dengan nama Kolej Kediaman Kelapan. Tetapi, pada 8 Mac 1986 namanya telah bertukar kepada nama baharu iaitu ‘Kolej Tun Perak (KTP)’ dan telah dirasmikan oleh Naib Canselor Universiti Pertanian Malaysia ketika itu, Profesor Tan Sri Dato ‘Nayan Ariffin. Secara keseluruhannya, Kolej Tun Perak mempunyai enam blok dan lima daripadanya digunakan bagi kemudahan penginapan kepada pelajar manakala satu daripadanya digunakan bagi tujuan pentadbiran. Ia dilengkapi dengan pejabat, kemudahan dewan serta surau bagi kegunaan harian pelajar.

Kesemua blok-blok di KTP telah dinamakan bersempena dengan nama pahlawan-pahlawan yang sohor dalam sejarah Melayu ketika dahulu. Antara nama pahlawan yang diguna pakai ialah Jebat, Lekiu, Lekir, Tuah dan juga Kasturi. KTP adalah kolej pertama yang memecah tradisi penamaan kolej kediaman di UPM dengan meletakkan nilai kemanusiaan di tempat yang tepat. Daripada kelima-lima blok tersebut, blok Jebat adalah dikhaskan dan dikhusukan bagi pelajar yang terlibat dengan Kor Kesukarelawanan Siswa Siswi (SUKSIS).

PENGGABUNGAN KPZ-KTP

Pada tahun 2019, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mewujudkan satu pelan penggabungan yang melibatkan jabatan-jabatan yang terdapat di sini iaitu Pelan Transformasi Governans. Tujuan pelan ini dirangka adalah untuk memaksimumkan penggunaan tenaga kerja dalam meningkatkan kadar keefisienan penyampaian perkhidmatan. Untuk menyahut seruan UPM dalam pelan ini, Kolej Pendeta Za’ba telah digabungkan dengan Kolej Tun Perak bermula pada Jun 2019 dan penstrukturan semula pengetua dan  pentadbiran kolej telah dibuat.

Rentetan itu, nama Kolej Pendeta Za’ba telah dikekalkan dan digunakan sebagai nama kolej sehingga hari ini. Walaubagaimanapun, nama Tun Perak tetap digunakan di dalam UPM dalam penggunaan lain seperti di kompleks perumahan antarabangsa iaitu Kompleks Tun Perak. Selepas penggabungan, Kolej Pendeta Za’ba telah melalui pembaharuan dari segi logo dan lagu kolej. Kedua-dua logo dan lagu kolej adalah hasil dari gabungan logo dan lagu kolej sebelum ini.

SXDdEAp~