JOM JUMPA ANUAR ! | KOLEJ PENDETA ZA'BA
» BERITA » JOM JUMPA ANUAR !

JOM JUMPA ANUAR !

Serdang, 10 Disember : Julung kalinya Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Mohamad Rashid dan Kolej Pendeta Za’ba telah berkolaborasi dan menganjurkan sebuah program yang berpaksikan kepimpinan iaitu program Meet Anwar @ UPM: Dialog Mahasiswa bersama YBhg. Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Port Dickson. Program ini telah diilhamkan oleh Prof Madya Dr. Khairulmazmi Bin Ahmad, pengetua Kolej Mohamad Rashid dan Kolej Pendeta Za’ba setelah melihat kepada potensi kepimpinan mahasiswa yang boleh dipupuk dan diasah secara terus menerus.

Majlis tertinggi mahasiswa sesi 18/19 dan pihak pengurusan bagi kedua dua buah kolej telah menjalin kerjasama dengan Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Putra Malaysia dalam usaha untuk merealisasikan program ini. Program selama dua jam yang bermula pukul 9 itu ditamatkan tepat  jam 11 malam. Seramai 2,000 pelajar dari pelbagai fakulti dan kolej kediaman memenuhi ruang dewan besar PKKSSAAS, dialog itu turut dihadiri Naib Canselor UPM, YBhg. Prof Datin Paduka Dato' Dr. Aini Ideris dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti  Y.A.M Tengku Laksamana Perlis Dato’ Seri DiRaja Syed Razlan Ibni Syed Putra Jamalullail.

Program ini juga turut dikunjungi oleh pelajar daripada Institusi Pengajian Tinggi yang berdekatan serta terbuka kepada orang ramai. Antara soalan yang ditanyakan oleh peserta pada program tersebut iaitu isu berkaitan Pinjaman Tabung Perbadanan Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), had umur mengundi 18 tahun, ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), politik kampus dan beberapa soalan berkaitan isu-isu semasa. Menurut YBhg. Dato’ Seri Anwar Ibrahim, “ Universiti harus menjadi gelanggang menimba ilmu, mencintai ilmu dengan mengadakan wacana segar dan mendengar segala pandangan. Kerana dengan hujah akan menegakkan islam rahmatan lil alamin”. Ini menunjukkan bahawa prakarsa ini adalah salah satu wadah untuk melahirkan individu yang mampu berfikiran idealistik dan progresif. Inisiatif ini merupakan platform yang ideal untuk menzahirkan keprihatinan mahasiswa akan masalah polemik yang semakin meruncing dalam negara kita. Mahasiswa turut berpeluang untuk menjalinkan hubungan yang lebih mesra dan dekat dengan barisan tertinggi negara dalam konteks kerajaan baru. 

Kesedaran akan isu kebebasan bersuara dalam kalangan mahasiswa juga memberi peluang untuk mahasiswa bersa-sama turun padang membantu dan berperanan dalam mengukuhkan halatuju negara kelak. Perangkaan program ini juga adalah hasil daripada kesedaran akan isu kebebasan bersuara dlam kalangan rakyat terutama dalam institusi melibatkan golongan belia dan mahasiswa. Pengisian program yang lebih santai dan sesi pertanyaan yang panjang memberi peluang kepada bakal perintis untuk melontarkan pendapat dan pertanyaan kepada YBhg. Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Impak Program ini telah membuka ruang kepada para mahasiswa untuk mengajukan soalan kepada Y.B Dato' Seri Anwar Ibrahim tentang isu-isu terkini serta perkara-perkara yang menjadi tanda Tanya kepada mahasiswa. Program ini juga telah memberi ruang untuk beliau beramah mesra bersama semua hadirin yang hadir pada malam itu.

 

Tarikh Input: 25/07/2019 | Kemaskini: 25/07/2019 | nora

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ PENDETA ZA'BA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 7387
00000
SXEbEAJ~