
KUALA LUMPUR, 13 September 2025 — Komuniti Kesenian & Kebudayaan Kolej Pendeta Zaba (KPZ) Universiti Putra Malaysia (UPM) mencuri tumpuan dalam acara tahunan Keretapi Sarong 2025 yang bertemakan “Serumpun” dengan persembahan kreatif yang memukau ramai orang. Penyertaan KPZ adalah atas jemputan khas pihak LOCCO sebagai wakil rasmi komuniti di Stesen MRT UPM.
Di bawah pimpinan Pengarah Program, Aina Wafa Azuan, pasukan KPZ memulakan aktiviti mereka di Stesen MRT UPM dengan persembahan akustik dan medley kesenian. Persembahan tersebut menerima sambutan hangat daripada komuniti setempat sebelum memulakan perjalanan. Turut hadir menyaksikan persembahan ini ialah YB Dato’ Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

Walaupun slot permainan terpaksa dibatalkan kerana kekangan masa, semangat pasukan KPZ tetap tinggi. Aktiviti mereka diteruskan sepanjang perjalanan ke secret location iaitu Raintree Plaza, TRX melalui gerabak keretapi yang sesak. Dalam suasana meriah itu, pasukan KPZ mengadakan aktiviti interaktif dengan mengajak penumpang menyanyi bersama lagu-lagu rakyat serta menganjurkan pertunjukan fesyen sarong secara spontan, menjadikan suasana keretapi penuh warna-warni dan semangat perayaan.
Seorang penumpang berkongsi pengalaman mereka, menyatakan bahawa persembahan KPZ sangat menghiburkan dan menyeronokkan serta berjaya menyemarakkan suasana perjalanan. Menurut Pengarah Program, program ini bukan sahaja bertujuan untuk menghiburkan tetapi juga untuk memupuk kerjasama, kreativiti dan kesedaran budaya dalam kalangan pelajar. Penyertaan KPZ menegaskan peranan mereka sebagai Duta Budaya UPM, aktif memelihara dan mempromosikan warisan kebangsaan.
Dengan kecekalan dan kreativiti yang ditonjolkan, KPZ berjaya meninggalkan impak positif yang meluas, menghiburkan peserta, memperkukuh hubungan dengan pihak LOCCO dan menyerlahkan semangat budaya serta keterlibatan pelajar UPM sepanjang perjalanan Keretapi Sarong 2025.
Tarikh Input: 12/12/2025 | Kemaskini: 12/12/2025 | nuriznifasihah

KOLEJ PENDETA ZA'BA
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA,
43400 UPM SERDANG,
SELANGOR DARUL EHSAN