Oleh : Nur Syazwina binti Suriyono
Serdang, 20 Mac - Program KPZ- Kyutech Buddies Programme 5.0, telah berjaya diadakan oleh Sekretariat Kesukarelawanan dan Pengantarabangsaan, Majlis Perwakilan Kolej Sesi 2025/2026, Kolej Pendeta Za’ba dari 9 hingga 15 Mac 2026, sekali gus menjadi simbol jalinan persahabatan antarabangsa serta persefahaman budaya antara Malaysia dan Jepun.
Program berprestij ini menyambut kedatangan 14 orang pelajar mobiliti bersama seorang kakitangan dari Kyushu Institute of Technology (KYUTECH), Jepun. Penganjurannya direalisasikan melalui kerjasama erat antara Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Pusat Antarabangsa Putra (I-PUTRA), serta barisan pengurusan Kolej Pendeta Za’ba (KPZ). Inisiatif ini bertujuan memperkasa pertukaran budaya yang bermakna di samping mengukuhkan hubungan akademik dan diplomatik antara kedua-dua institusi.
Sepanjang tempoh seminggu, para peserta disajikan dengan pelbagai aktiviti yang memperkayakan pengalaman mereka sudut pemahaman budaya, pembangunan kemahiran tradisional, serta pengukuhan interaksi sosial. Antaranya termasuk permainan batu seremban, anyaman ketupat dan seni anyaman asas, serta lawatan pendidikan sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM). Selain itu, pengalaman berbuka puasa di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur turut memberi peluang kepada peserta untuk menyelami keindahan kepelbagaian budaya dan tradisi tempatan. Mereka juga mengambil bahagian dalam sesi masakan dengan menyediakan pencuci mulut tradisional Malaysia seperti butir nangka dan hazelnut rocher.
Kemuncak program ini diserikan dengan Majlis Interaksi Bersama Pengetua. Dalam ucapan beliau, Pengarah Program KPZ–Kyutech Buddies 5.0, Saudari Ilham Aini Suhaili, menyifatkan program ini sebagai satu pengalaman yang amat berharga.“Program ini bukan sahaja memperkenalkan keunikan masyarakat Malaysia, malah berjaya mengeratkan ukhuwah dan membina hubungan yang bermakna antara kita semua,” ujar beliau. Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh jawatankuasa penganjur atas komitmen dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi.
Mewakili Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), YBhg. Prof. Dr. Arifin Abdu,
YBhg. Prof. Dr. Mohamad Aris Mohd Moklas menyuarakan sentimen yang sama dalam ucapan penutupnya. “Biarkan pengalaman ini menjadi asas untuk membina jambatan antara negara dan memupuk pemahaman yang lebih baik dalam dunia kita yang saling berkaitan ,” katanya.
Selain memupuk penghayatan silang budaya, program ini sejajar dengan komitmen UPM untuk memupuk warga global dan memajukan penglibatan antarabangsa. Diharapkan bahawa inisiatif seperti Program KPZ- KYUTECH Buddies Programme akan terus mengukuhkan hubungan institusi sambil memberi inspirasi kepada pelajar untuk menyumbang secara bermakna kepada kerjasama global dan persefahaman bersama.
Tarikh Input: 13/04/2026 | Kemaskini: 13/04/2026 | syafiqammar

KOLEJ PENDETA ZA'BA
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA,
43400 UPM SERDANG,
SELANGOR DARUL EHSAN