
5 Disember 2025, Serdang – Sekretariat Kelestarian Hijau dan Keterjaminan Makanan, Majlis Perwakilan Kolej sesi 2025/2026, Kolej Pendeta Za’ba telah berjaya menganjurkan Program Perniagaan Pertanian Siswa (SEEDA) sempena Pesta Konvokesyen UPM 2025 di Dataran Menara Putra, Warisan Budi UPM. Program ini dilaksanakan selama lapan hari, bermula 28 November hingga 5 Disember 2025, sebagai inisiatif untuk mempromosikan keterjaminan makanan dan keusahawanan dalam kalangan mahasiswa.
Program ini mengetengahkan projek penjualan buah nanas segar dan produk hiliran seperti jem nanas dan jus nanas yang diusahakan sendiri oleh pelajar Kolej Pendeta Za’ba. Sepanjang program berlangsung, para pelajar terlibat secara langsung dalam aktiviti penuaian, pemprosesan, penentuan strategi harga, pembungkusan serta teknik pemasaran, menjadikan SEEDA sebagai platform pembelajaran praktikal berteraskan model “dari ladang ke produk siap”.

Pengunjung Pesta Konvokesyen turut berpeluang melihat pameran mini berkaitan metodologi penanaman nanas dan penghasilan jem nanas di Farm Kiosk Kolej Kediaman. Program ini mendapat sokongan pihak pengurusan kolej dan Sekretariat Keusahawanan, serta turut disertai oleh lebih 1000 pelajar sebagai sasaran utama.
Program ini telah menerima kunjungan rasmi daripada Naib Canselor UPM, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Timbalan Naib Canselor UPM, YBhg. Prof. Dr. Arifin Abdu, Pengetua Kolej Pendeta Za’ba, YBrs. Dr. Mohd Hakiman Mansor serta pegawai kanan UPM, yang meluangkan masa meninjau pameran serta memberikan sokongan terhadap usaha pelajar dalam menjayakan inisiatif ini. Sokongan serta maklum balas daripada pihak pengurusan universiti diharap dapat membuka ruang kepada projek-projek pertanian kolej yang lebih besar pada masa akan datang.
Tarikh Input: 12/12/2025 | Kemaskini: 12/12/2025 | nuriznifasihah

KOLEJ PENDETA ZA'BA
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA,
43400 UPM SERDANG,
SELANGOR DARUL EHSAN