Weaving One Vision, Embracing Nations | KOLEJ PENDETA ZA'BA
» BERITA » Weaving One Vision, Embracing Nations

Weaving One Vision, Embracing Nations

Oleh : Nur Athirah binti Che Rozlan

 

Serdang, 16 Mei – Sekretariat Kerohanian dan Perpaduan, Majlis Perwakilan Kolej Sesi 2025/2026, Kolej Pendeta Za’ba telah berjaya menganjurkan program berbentuk ceramah bertemakan isu hak asasi manusia iaitu Weaving One Vision, Embracing Nations bertempat di Dewan Kolej Pendeta Za’ba, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor hari ini.

Program Weaving One Vision, Embracing Nations telah berjaya menghimpunkan hampir 250 orang peserta yang terdiri daripada pelajar Kolej Pendeta Za’ba, penghuni kolej-kolej sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM), serta pelajar antarabangsa dari pelbagai negara. Turut hadir memeriahkan program ialah pensyarah kanan dari Fakulti Ekologi Manusia, UPM, iaitu YBrs. Dr. Zatul Himmah Adnan selaku penceramah jemputan. Program ini dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran mahasiswa dalam memartabatkan hak asasi sebagai pelajar dan rakyat Malaysia, di samping menjadi platform penting dalam memupuk perpaduan serta keharmonian masyarakat majmuk berbilang kaum.

 

Gambar 1 menunjukkan ahli jawatankuasa, tetamu jemputan serta penceramah meraikan kejayaan program selepas tamat berlangsung. 

Dalam ucapan Pengarah Program Weaving One Vision, Embracing Nations sebelum gimik perasmian, Saudari Nur Athirah binti Che Rozlan, menyifatkan program ini sebagai pengalaman yang amat berharga dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan prihatin. Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh jawatankuasa penganjur atas komitmen serta dedikasi yang tidak berbelah bahagi sepanjang persediaan dalam menjayakan aspirasi program ini.

Program dimulakan dengan gimik perasmian oleh Ketua Felo Kolej Pendeta Za’ba, Encik Arief Hakimi Sudin, melalui simbolik tanda tangan pada papan khas berlatar belakangkan glob bumi bercahaya yang melambangkan kesatuan dan perpaduan. Seterusnya, program diteruskan dengan sesi ceramah bertajuk Voices For Humanity yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Zatul Himmah Adnan selama satu jam. Ceramah tersebut mengupas pelbagai isu berkaitan kemanusiaan serta kepentingan memahami nilai hak asasi dalam kehidupan bermasyarakat. Program kemudian diteruskan dengan sesi soal jawab yang memberi peluang kepada para hadirin untuk mengemukakan pandangan dan persoalan berkaitan topik yang dibincangkan.

 

Gambar 2 memaparkan situasi semasa sesi Unity Light Ceremony

Selain itu, para peserta turut menyertai sesi Unity Light Ceremony, iaitu satu pengisian simbolik yang menyaksikan para hadirin melambaikan lightstick berwarna-warni sambil pengacara majlis menyampaikan mesej perpaduan, keamanan dan keharmonian masyarakat. Sesi tersebut berlangsung dalam suasana penuh bermakna dengan iringan instrumental lagu We Live to Give, sekali gus menyentuh emosi para peserta untuk terus menghargai nilai kemanusiaan dan kebersamaan. Kemudian, program diserikan dengan sesi penghargaan daripada pihak kolej kepada penceramah jemputan sebagai tanda penghargaan dan tanda kenangan. 

Akhir sekali, program yang sarat dengan pengisian ilmiah ini ditamatkan dengan sesi bergambar bersama para peserta dan ahli jawatankuasa yang terlibat. Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada para penaja seperti Putra Food Court (PFC), Putra Food Fest dan Syarikat Vits atas sumbangan yang diberikan. Penajaan tersebut bukan sahaja memeriahkan program, malah membolehkan para peserta menerima cenderamata bermakna sebagai tanda penghargaan. Diharapkan program ini mampu memberi impak berpanjangan dalam melahirkan mahasiswa yang berintegriti, prihatin dan bersatu padu, selaras dengan moto universiti, “Berilmu Berbakti”.

Tarikh Input: 12/06/2026 | Kemaskini: 12/06/2026 | syafiqammar

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ PENDETA ZA'BA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6068
00000
X, (09:47:00pm-09:52:00pm, 12 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]