Oleh : Ilham Aini Binti Suhaili
Semenyih, 19 April – Sekretariat Kesukarelawanan dan Pengantarabangsaan, Majlis Perwakilan Kolej Sesi 2025/2026, Kolej Pendeta Za’ba telah berjaya menganjurkan program khidmat masyarakat (CSR) "The Amal with Za'ba" bertempat di Desa Amal Jireh, Semenyih, Selangor hari ini.
Program yang melibatkan seramai 35 orang peserta merangkumi pelajar Kolej Pendeta Za’ba dan 39 penghuni Desa Amal Jireh ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran komuniti terhadap kepentingan pemahaman Bahasa Melayu melalui aktiviti interaktif yang menyeronokkan. Selain itu, inisiatif ini menjadi platform penting untuk mendedahkan peserta kepada pembelajaran berasaskan STEM secara praktikal bagi memupuk pemikiran kritis dan kreativiti dalam diri masing-masing.
Sepanjang program berlangsung, para peserta telah mengikuti pelbagai slot pengisian yang dirangka khusus untuk mengasah kemahiran praktikal dan kognitif antaranya ialah Slot "Cerita dan Lukisan" di mana peserta didedahkan dengan aktiviti mengasah minda mencari hero idaman yang memfokuskan kepada penetapan matlamat dan cara untuk menyelesaikan masalah. Selain itu, bagi slot STEM Challenge Explorace pula menguji kecekapan peserta melalui pelbagai stesen mencabar antaaranya Swing Bucket dan Food Pyramid. Slot terakhir yang merupakan slot pengasahan Bahasa Melayu iaitu slot Misi Ekspedisi Bahasa Melayu membantu murid memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan melalui aktiviti seperti Jejak Kata Kerja dan Teka Silang Kata.
Kemuncak program ini diserikan dengan majlis penutupan yang menjadi simbol kejayaan jalinan kerjasama antara pihak kolej, universiti dan komuniti. Dalam ucapan beliau, Pengarah Program "The Amal with Za'ba", Saudari Ilham Aini binti Suhaili, menyifatkan program ini sebagai satu pengalaman yang amat berharga dalam membina hubungan bermakna antara sukarelawan dan penghuni Desa Amal Jireh. Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh jawatankuasa penganjur atas komitmen dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi dalam menjayakan aspirasi kelestarian ini.
Penganjuran yang penuh bermakna ini diakhiri dengan ucapan dan harapan daripada Encik Noah Huarajjan, Pegawai Komunikasi Desa Amal Jireh yang berharap agar jalinan ukhuwah yang terbina tidak terhenti di sini, sebaliknya terus berkembang selaras dengan visi Universiti Putra Malaysia sebagai sebuah institusi yang sentiasa mengutamakan inovasi demi kehidupan dan sumbangan bakti kepada negara.Diharapkan agar inisiatif seperti ini akan terus mengukuhkan hubungan institusi sambil memberi inspirasi kepada pelajar untuk menyumbang secara bermakna kepada masyarakat, selaras dengan moto universiti, "Berilmu Berbakti".
Date of Input: 28/05/2026 | Updated: 28/05/2026 | syafiqammar

KOLEJ PENDETA ZA'BA
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA,
43400 UPM SERDANG,
SELANGOR DARUL EHSAN