Genba Bakery, USIM Menyambut Kedatangan 20 Orang Pelajar daripada Kolej Pendeta Za’ba UPM
Oleh: Syazwina Anuar
NILAI, 26 Mei 2024 - Seramai 20 orang pelajar Kolej Pendeta Za’ba (KPZ) Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mewakili Kolej Pendeta Za’ba dalam program Whisk and Wander Day anjuran Sekretariat Keusahawanan, Alumni dan Kerjaya Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Pendeta Za’ba yang diadakan di kafe Genba Bakery, Universiti Sains Islam Malaysia.
Program Whisk and Wander Day ini berlangsung pada 26 Mei, Ahad dan dikendalikan oleh salah seorang pekerja sepenuh masa, Cik Syafawani. Beliau merupakan pelajar daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang sudah berkhidmat sejak kafe tersebut ditubuhkan. Beliau bersama 3 orang rakan yang lain turut membantu dalam menjayakan perniagaan ini. Program tersebut dimulakan dengan sesi Empower Entrepreneurs Talk bersama pihak Genba Bakery.
Setelah selesai sesi Q&A, aktiviti seterusnya ialah hands on bakery iaitu membuat brownies dan cheese tart. Pelajar diberikan sehelai apron dan aktiviti tersebut berjalan selama 3 jam bermula dari pukul 10 pagi sehingga 1 tengah hari. Bahan-bahan persediaan seperti tepung, telur, gula perang, coklat bar disediakan oleh pihak Genba Bakery termasuk alatan lain seperti loyang, penimbang, senduk dan mangkuk. Arahan diberikan oleh Cik Syafawani dengan jelas dan teratur kepada pelajar dari awal sehingga selesai aktiviti.
Perkataan Genba Bakery yang bermaksud Gen=Generasi dan Ba=Baru iaitu Generasi Baru merupakan cetusan idea daripada Pengarah Pusat Keusahawanan Universiti USIM, Dr. Anuar Sani. Program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada warga kolej dan mahasiswa untuk memahami asas ilmu keusahawanan dan meluaskan pengalaman dalam bidang perniagaan terutamanya bidang pastri. Bukan itu sahaja, program ini juga adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar berkenaan asas keusahawanan seiring menaikkan minat dalam diri pelajar melalui perkongsian pengalaman oleh pihak Genba Bakery.
Diharapkan agar penyertaan daripada pelajar Kolej Pendeta Za’ba, UPM ini dapat memberikan semangat dan inspirasi kepada pelajar KPZ yang lain supaya memberikan semangat yang jitu untuk mencipta kejayaan pada masa akan datang sekali gus mengharumkan nama kolej dan universiti.


Date of Input: 27/06/2024 | Updated: 27/06/2024 | naterah

KOLEJ PENDETA ZA'BA
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA,
43400 UPM SERDANG,
SELANGOR DARUL EHSAN