Mahasiswa Empat Universiti Sertai Perlawanan Silat Empat Penjuru di Dewan KPZ
Oleh: Sekretariat Sukan dan Rekreasi
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA,SERDANG, 17 Januari 2026 - Program Intervarsiti: Perlawanan Silat Empat Penjuru telah berjaya dianjurkan di Dewan Kolej Pendeta Za’ba dengan penyertaan mahasiswa daripada empat institusi pengajian tinggi iaitu Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Kuala Lumpur serta wakil tuan rumah Kolej Pendeta Za'ba. Program ini dianjurkan oleh Sekretariat Sukan dan Rekreasi Majlis Perwakilan Kolej sesi 2025/2026 dengan kerjasama pihak pengurusan kolej dan kelab persatuan silat universiti. Perlawanan ini diadakan sebagai platform rasmi pertandingan silat secara beretika dan terkawal, di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara mahasiswa. Selain menonjolkan semangat kesukanan, program ini turut memperkasa seni silat sebagai warisan budaya serta sukan kompetitif dalam kalangan pelajar universiti.
Seramai kira-kira 80 peserta dari setiap universiti terlibat bersama barisan jawatankuasa pelaksana. Atur cara program dimulakan dengan sesi pendaftaran dan taklimat keselamatan, diikuti perlawanan persahabatan silat empat penjuru yang berlangsung dalam dua sesi. Program turut diserikan dengan persembahan pembukaan silat serta sesi penutup dan postmortem pada sebelah malam. Melalui penganjuran ini, peserta berpeluang mengaplikasikan kemahiran teknikal dan taktikal silat dalam suasana pertandingan sebenar. Nilai disiplin, kerjasama berpasukan dan kepimpinan turut diterapkan sepanjang program berlangsung. Penganjur juga menekankan pematuhan peraturan serta aspek keselamatan bagi memastikan perjalanan perlawanan berjalan lancar.
Program ini memberi impak positif kepada pembangunan sahsiah dan kecergasan fizikal mahasiswa, di samping meningkatkan imej institusi sebagai penyokong aktif pembangunan sukan dan kebudayaan. Jalinan kerjasama antara universiti juga dapat diperkukuh melalui penganjuran program intervarsiti seperti ini. Secara keseluruhan, Perlawanan Silat Empat Penjuru ini berjaya mencapai objektifnya sebagai medan pembangunan bakat, pengukuhan jati diri serta pemeliharaan seni silat dalam kalangan generasi muda.
Date of Input: 10/07/2026 | Updated: 10/07/2026 | syafiqammar

KOLEJ PENDETA ZA'BA
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA,
43400 UPM SERDANG,
SELANGOR DARUL EHSAN