SERDANG, 7 JUN 2024 - Karnival Keterjaminan Makanan 2024 telah berlangsung di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) UPM. Antara aktiviti yang dijalankan ialah Forum Pertanian untuk Rakyat (PUTRA): Inklusiviti UPM Menyubur Pertanian dan Keterjaminan Makanan, demonstrasi pertanian bandaran, pameran berfokus kepada tanaman, penternakan dan teknologi semasa, jualan produk pertanian serta pelancaran dokumen Blueprint Keterjaminan Makanan.
Kolej Pendeta Za'ba (KPZ) telah menyertai pameran berfokuskan kepada tanaman dan telah mengangkat tanaman betik sebagai tanaman di sekitar kolej kediaman KPZ. Penanaman betik ini telah bermula pada bulan Jun 2023 dengan penglibatan staf, felo dan Majlis Perwakilan Kolej (MPK). Pemilihan buah betik adalah disebabkan pelbagai nutrisi yang boleh diperolehi daripada buah betik itu sendiri, daun betik dan biji betik. Hasil penanaman betik telah dijual kepada warga kolej bermula pada bulan Mei 2024 dan kolej sedang mempergiatkan lagi penanaman lain selain betik untuk menyokong Universiti Putra Malaysia sebagai Universiti peneraju keterjaminan makanan negara.

Tetamu kehormat yang hadir semasa karnival ini adalah Yang Berbahagia Datuk Seri Haji Mohamad Bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan juga Yang Berbahagia Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi.

Kolej Pendeta Za'ba juga telah memenangi tempat pertama Geran Aktiviti bernilai RM3,000.00 di atas penyertaan tertinggi kategori kolej kediaman. Syabas diucapkan kepada seluruh warga Kolej Pendeta Za'ba di atas komitmen yang telah diberikan.

Date of Input: 11/06/2024 | Updated: 11/06/2024 | norazlinazul

KOLEJ PENDETA ZA'BA
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA,
43400 UPM SERDANG,
SELANGOR DARUL EHSAN