MAFHUM RAMADAN: BULAN SUCI BAGI UMAT ISLAM SEDUNIA | KOLEJ PENDETA ZA'BA
» ARTIKEL » MAFHUM RAMADAN: BULAN SUCI BAGI UMAT ISLAM SEDUNIA

MAFHUM RAMADAN: BULAN SUCI BAGI UMAT ISLAM SEDUNIA

Bulan Ramadan adalah bulan yang penuh dengan berkat dan rahmat serta dinanti sebagai rencana tahunan dalam memulihkan hubungan fizikal dan rohani diri dengan Sang Pencipta. Datangnya Ramadan dapat memberi peluang kepada umat Islam untuk menebus kembali kesilapan mereka yang lalu di samping menggandakan lagi pahala dan ganjaran untuk dijadikan bekalan di akhirat kelak.

Puasa

Puasa adalah perkara biasa yang merupakan wiritan tahunan secara meluas oleh masyarakat Islam seluruh dunia. Antara sebab-sebab untuk berpuasa termasuklah tuntutan agama, pemuliharaan kesihatan dan penyucian jiwa rohani. Tambahan pula, terdapat pelbagai kaedah berpuasa termasuk menahan diri daripada makan dan minum untuk beberapa jam atau bulan.  Bagi umat Islam, puasa bermaksud menahan diri daripada memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan dan daripada melakukan sesuatu perkara yang boleh membatalkan puasa bermula dari terbit matahari (masuk waktu subuh) sehinggalah terbenam matahari (masuk waktu maghrib) iaitu lebih kurang 14 jam sehari. Ibadah puasa secara asanya merupakan rukun Islam yang ketiga dan Allah SWT telah menegaskan betapa pentingnya ibadah puasa dalam Al-Quran, khususnya dalam surah Al-Baqarah yang menggariskan tujuan utama ibadah puasa:

 

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (١٨٣)

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Al Baqarah:183)

 

Setiap muslim yang telah aqil baligh adalah diwajibkan berpuasa. Walaubagaimanapun, keperluan nutrisi bagi tubuh badan semasa berpuasa tetap sama dan perlu dipenuhi. Perkara yang membezakannya adalah waktu pengambilan makanan tersebut. Berpuasa dapat membentuk disiplin seseorang agar mengambil makanan pada kadar yang tertentu dan waktu tertentu sahaja.

Nuzul Al-Quran

Ramadan merupakan bulan kesembilan mengikut kalendar hijriah Islam yang turut dianggap sebagai bulan yang istimewa oleh seluruh umat Islam di serata dunia sebagai bulan yang penuh dengan lubuk pahala. Bulan ini juga adalah permulaan bagi penurunan kitab suci Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui Malaikat Jibril sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Qadr:

 

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (١)

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran pada malam al-Qadar.” (Al-Qadr:1)

 

Hari turunnya Al-Quran (Nuzul Quran) dianggap sebagai malam permulaan turunnya al-Quran dari Baitul ‘Izzah (langit dunia) kepada Rasulullah SAW secara berperingkat. Di samping itu, malam lailatulqadar juga turut diturunkan Al-Quran mengikut peringkatnya tersendiri. Adapun penurunan Al-Quran pada malam lailatulqadar adalah peristiwa Al-Quran diturunkan dari luh mahfuz ke Baitul ‘izzah secara serentak (30 juzuk).

Ramadan merupakan masa untuk memperbanyakkan ibadah dan sajian rohani. Umat Islam melaksanakan pelbagai ibadah sunat tambahan, seperti solat tarawih, tadarus Al-Quran, qiamullail dan banyak lagi. Ibadah ini menawarkan peluang kepada seluruh umat Islam bagi memohon pengampunan, bimbingan, dan berkat dengan penuh tawaduk daripada Allah SWT pada masa pintu langit terbuka luas di bulan Ramadan.

 

Zakat

Pada bulan ini juga terletak kewajipan mengikut rukun Islam yang ke-4 iaitu zakat. Pengertian zakat dari sudut bahasa ialah keberkatan, kesucian, perkembangan dan kebaikan. Manakala dari sudut syarak ialah sebahagian harta tertentu yang telah diwajibkan oleh Allah SWT untuk diberikan kepada orang-orang yang berhak menerimanya. Zakat mempunyai kepentingan yang besar pada pandangan Islam kerana ianya mampu memperbaiki kedudukan masyarakat dari sudut moral sebagaimana juga dapat membersihkan jiwa dari sifat kedekut dan bakhil.

Hari Raya Aidilfitri

Kemuncak bulan Ramadan ditandai dengan hadirnya bulan syawal yang sinonim kepada Hari Raya Aidilfitri. Hari Raya Aidilfitri juga turut menandakan berakhirnya puasa dan pembaharuan pertumbuhan rohani dan ikatan masyarakat dalam komuniti Islam secara keseluruhannya. Antara aktiviti yang sering menjadi kewajipan dan amalan umat Islam pada 1 Syawal ialah solat sunat hari raya, bertakbir, ziarah-menziarahi keluarga dan rakan serta lain-lain.

Kesimpulannya, berpuasa di bulan Ramadan adalah salah satu daripada rukun Islam. Setiap detik sepanjang bulan Ramadan adalah sebaik-baik masa dan hari di atas muka bumi ini. Allah SWT telah memberikan kelebihan yang banyak kepada bulan Ramadan berbanding dengan bulan yang lain. Namun, kita tidak seharusnya menumpukan ibadah di bulan Ramadan sahaja, bahkan terdapat pelbagai ibadah yang boleh dilaksanakan bagi meningkatkan keimanan kepada Allah SWT pada waktu yang lain. Bulan Ramadan turut merupakan tempoh pertumbuhan rohani, disiplin diri, dan peningkatan pengabdian kepada Allah di samping memupuk rasa perpaduan, belas kasihan, dan tanggungjawab sosial dalam kalangan orang yang beriman untuk memperkukuh nilai dan prinsip Islam di dalam minda dan jiwa.

Tarikh Input: 03/04/2024 | Kemaskini: 03/04/2024 | naterah

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ PENDETA ZA'BA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 7387
00000
SXEeCA6~